Aku tak pasti sama ada sejarah berulang atau tidak.Tapi bagi aku ada sejarah yang berulang malah dalam bentuk yang lebih bagus dan lebih hebat.
Pada tahun 1992 semasa berumur 6 tahun, anak sulungku,Nurul Fatehah telah dipilih sebagai pelajar terbaik di Tadika Islah.Dia juga dipilih untuk membacakan ucapan mewakili pelajar-pelajar lain. Waktu itu aku sudah amat bangga dengan pencapaiannya.
Ibu bapa dan para tetamu yang hadir sangat kagum dengan kepetahan dia berucap.Mereka kagum dengan kelancaran dan intonasi suaranya yang baik.Mereka fikir tentulah dia dapat membaca kerana belajar di Tadika Islah!Apa yang mereka tak tahu ialah, Nurul Fatehah sudah boleh membaca sejak berumur empat tahun kerana bertadika dengan ibunya. Dia hanya pergi ke Tadika untuk menghabiskan waktu sementara menunggu aku balik kerja.Dia hanya pergi ke Tadika untuk menemani adiknya Nurul Khalidah, yang berumur empat tahun. Hari itu anakku telah menjadi aset tadikanya. Hari itu anakku telah "menjual" tadikanya kepada masyarakat setempat yang hadir di Dewan Masjid Tanah, Melaka.
Tujuh belas tahun kemudian,di usia 23, sejarah itu berulang.Dia mendapat anugerah pelajar terbaik English Language and Literature di Majlis Konvokesyen ke 25 Universiti Islam Antarabangsa dan menjadi Valedictorian untuk sidang kelima konvokesyen pada 12 Oktober 2009. Dia masih Nurul Fatehah yang petah dan lancar, yang berucap dalam 3 bahasa.Bermula dengan Bahasa Inggeris, kemudian Bahasa Arab dan diakhiri dengan Bahasa Melayu. Aku tak punya perkataan untuk menggambarkan perasaan hatiku waktu itu.Aku amat bersyukur dengan rahmat Allah.Aku amat bangga dengan pencapaiannya. Dia sangat gigih belajar.Dia sangat rajin menuntut ilmu.Dia tak kenal jemu mengejar kejayaan.
8 Oktober 2011, sekali lagi aku menghadiri konvokesyen UIA.Kali ini Nurul Fatehah mendapat ijazah Master of Human Sciences( English Literature Studies).Walaupun tidak mendapat anugerah pelajar terbaik dan menyampaikan ucapan tapi dia masih berjaya sebagai pelajar terbaik English Literature Studies.Sekali lagi aku tak punya kata-kata untuk menukilkan perasaan hati melainkan lafaz kesyukuran ke hadrat Illahi atas kurniaNya yang sangat hebat.
Berapa ramaikah ibu di Malaysia yang Allah beri peluang menjadi ibu kepada pelajar terbaik?Tak ramai.Dan aku amat bersyukur kerana aku berada dalam senarai itu.Kejayaan Nurul Fatehah sangat dibanggakan adik-adiknya juga. Dan, kalaupun Nurul Khalidah dan Nurul Nabilah Hanis tidak terpilih sebagai pelajar terbaik atau valedictorian, aku tetap bersyukur mereka sampai ke menara gading melalui jalan yang tak berliku dan penuh airmata seperti aku.
Tuhanku, aku tempuhi segenap duka sengsara hidup ini demi anak-anakku dan aku bersyukur padaMU atas segenap rahmat dan kurnia ini.
No comments:
Post a Comment